Thursday, 20 September 2018

PEMETAAN I-THINK


PEMETAAN I-THINK
disediakan oleh Chong Kee, Darrel 

Pemetaan I-Think ialah satu program pemikiran inovatif. Tujuan program ini adalah untuk mempertingkat dan membudayakan kemahiran berfikir dalam kalangan pelajar ke arah menghasilkan pelajar yang mempunyai ciri kreatif, kritis dan inovatif. Program ini adalah hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dan telah dikembangkan ke seluruh Malaysia. Program ini diwujudkan kerana kedudukan Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) didapati sudah menurun dalam subjek, bahasa, sains, dan matematik. Satu kajian telah dijalankan dan mendapati bahawa pelajar adalah berpengetahuan, tetapi tidak tahu untuk mengaplikasikan ilmu tersebut dalam kehidupan. Untuk melahirkan pelajar yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), program ini telah diperkenalkan supaya pelajar Malaysia dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.
Terdapat jumlah lapan peta yang dikemukakan melalui pemetaan I-Think. Setiap peta pemikiran mempunyai proses pemikiran yang boleh disesuaikan mengikut kehendak atau keperluan tajuk atau unit pelajaran yang berbeza. Antara lapan jenis peta I-Think ialah peta bulatan, peta buih, peta buih berganda, peta pokok, peta dakap, peta alir, peta pelbagai alir, dan peta titi. Setiap peta mempunyai fungsi dan kegunaan yang berbeza.


Peta bulatan digunakan menyumbangsarakan idea dan mempamerkan pengetahuan sedia berkaiatan sesuatu tajuk dengan memberi maklumat mengikut konteks.

Kegunaan peta buih pula adalah untuk meningkatkan kebolehan pelajar bagi mengenal pasti atau menunjukkan kualiti. Dalam peta buih, perkataan deskriptif ataupun huraian biasanya digunakan.

Peta buih berganda berfungsi sebagai alat berfikir yang membandingkan beza sesuatu perkara atau situasi.

Peta pokok pula digunakan dalam mengklasifikasikan bahan atau idea.

Kegunaan peta dakap adalah untuk menganalisi objek fizikal. Garisan yang terdapat di sebelah kiri adalah nama atau imej keseluruhan objek manakala garisan yang terdapat pada bahagian kedua adalah bahagian utama.

Peta alir adalah digunakan dalam membuat urutan sesuatu proses.

Peta pelbagai alir berfungsi sebagai alat berfikir yang digunakan dalam menunjukkan dan menganalisis hubungan sebab dan akibat. Bentuk segi empat yang berada di tengah adalah peristiwa yang penting. Sebab-sebab peristiwa tersebut terletak di bahagian sebelah kiri dan akibat daripada peristiwa tersebut terletak di bahagian sebelah kanan.

Peta titi digunakan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan proses analogi dengan menggunakan faktor penghubungan.

Terdapat banyak kelebihan penggunaan peta I-Think kepada para pelajar. Antaranya ialah lebih mudah dan senang untuk mengingati isi-isi penting atau isi utama sesuatu mata pelajaran yang dipelajari. Selain itu, penggunaan peta I-Think dapat menarik minat pelajar untuk belajar dan memudahkan proses penyerapan isi-isi penting dalam pembelajaran. Di samping itu, penggunaan peta I-think adalah lebih menarik kerana terdapat pelbagai bentuk. Malahan, pemetaan I-Think ialah alat yang menghubungkan jurang budaya antara guru dan pelajar. Seterusnya, pemetaan I-Think dapat meningkatkan kemahiran kognitif pelajariaitu mendefinisikan konsep, menerangkan, mengenal pasti, mengkategori dan menyusun maklumat, menyusun, membanding perbezaan, sebab dan akibat, menganalisis dan membuat keputusan. Pemetaan I-Think juga menggalakkan pelajar untuk menggunakan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis dan dapat meningkatkan kreativiti pelajar dalam mencipta peta ini.
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemetaan I-think banyak membawa kebaikan kepada pelajar. Pemetaan I-think mampu mendidik generasi muda supaya mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan berdaya saing. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak guru haruslah mempergiatkan penggunaan pemetaan I-think dalam kelas supaya melahirkan pelajar yang kreatif, kritis dan inovatif.



No comments:

Post a Comment

PEMETAAN I-THINK

PEMETAAN I-THINK disediakan oleh Chong Kee, Darrel  Pemetaan I-Think ialah satu program pemikiran inovatif. Tujuan program ini ada...